Sunday 27 February 2011

SEJARAH SEORANG SAUDARA BARU (MUALLAF) DAN PERANANNYA DALAM DAKWAH


TAJUK:
SEJARAH SEORANG SAUDARA BARU (MUALLAF) DAN PERANANNYA DALAM DAKWAH.

DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN
PENSYARAH CTU 551

DISEDIAKAN OLEH : NURUL SYAZWANI BINTI BAHRUDIN
NO MATRIX : 2010837928
KUMPULAN : BMB2Bc

PROGRAM : IJAZAH SARJANA MUDA (KEPUJIAN) PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
                         (BM 223)

TARIKH HANTAR : 27 FEBRUARI 2011


ISI KANDUNGAN
1. ABSTRAK
2. PENDAHULUAN
3. BIODATA
4. PENDIDIKAN
5. PENGALAMAN BEKERJA
6. PENGALAMAN HIDUP DI RUMAH ANAK YATIM
7. PROSEDUR-PROSUDER MEMELUK ISLAM
8. PENGALAMAN MENGENALI ISLAM
9. PENGALAMAN BERGELAR MUALLAF
10. PENGALAMAN PAHIT
11. PESANAN
12. PENUTUP

ABSTRAK

            Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”

(al-Bukhari)

            Berdasarkan hadis di atas, terbuktilah bahawa gologan yang baru memeluk agama Islam ini iaitu gologan Muallaf sememangnya sangat dikasihi oleh Allah s.w.t. Apa yang lebih penting adalah keikhlasan seseorang itu untuk memeluk agama Islam. Kebimbangan masyarakat sekarang adalah apabila seseorang yang bukan beragama Islam memeluk Islam hanya atas dasar ingin berkahwin dengan mereka yang beragama Islam. Namun tidak pula mereka menunaikan kewajipan sebagai orang Islam. Walaubagaimanapun, Islam itu adalah benar. Jika kita member mereka peluang, nescaya akan terbuka juga hati mereka  untuk menghayati agama Islam itu sendiri.

PENDAHULUAN

            Semua perkara yang berlaku di dunia ini pasti akan melalui proses yang tersendiri. Begitu juga dalam mendalami sesuatu agama. Setiap agama pasti akan mengalakkan setiap penganutnya memahami dengan lebih mendalam tentang agama mereka termasuk agama Islam. Agama Islam menuntut setiap muslimim dan muslimat untuk lebih mendalami dan menghayati ajaran yang lurus dan suci ini. Ianya juga termasuk golongan muallaf. Mengikut kamus dewan, muallaf bermaksud orang-orang yang baru memeluk agama Islam atau saudara baru. Manakala mengikut kamus lisan  al-‘Arab yang ditulis oleh Ibn Manzur. Mengikut penulisan beliau, muallaf bermaksud menghimpunkan sesuatu dengan sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu. Berdasarkan kedua-dua bahan penulisan itu, jelaslah maksud muallaf sebenarnya merujuk kepada orang yang bukan beragama Islam yang memeluk agama Islam demi mempelajari dan menghayati agama yang lurus dan terang ini.

BIODATA

            Beliau yang dahulunya hanya dipanggil dengan nama Kamala, mula membiasakan diri dengan nama baru yang dipilih setelah memeluk agama Islam iaitu Nor Baizura Kamala Binti Abdullah. Berusia 38 tahun, beliau dilahirkan pada 20 Julai 1973. Berasal dari Kuala Lumpur, beliau dilahirkan di Batu Road, Kuala Lumpur. Ibu dan bapanya meninggal dunia semenjak beliau masih kecil lagi dan beliau tidak mempunyai ahli keluarga serta saudara mara yang lain. Beliau kemudiannya dihantar ke Rumah Anak Yatim Budriah, Cheras, Kuala Lumpur. Beliau mula tinggal di rumah Anak Yatim tersebut hingga berusia 2 tahun. Ketika usianya berumur 2 tahun, beliau dipindahkan ke Rumah Anak Yatim Aloakar di Kuantan, Pahang. Beliau tinggal di situ sehingga usianya mencecah 18 tahun. Beliau kini yang lebih senang dengan kehidupan di Kuantan, mula menetap dan tinggal di Kuantan bersama teman rapatnya yang juga merupakan adik angkatnya. Sehingga kini, beliau masih bujang dan lebih senang dengan kehidupannya.

PENDIDIKAN

            Sebelum memasuki darjah satu, beliau hanya diajar di rumah Anak Yatim Aloakar. Pengetua di situ yang juga dipanggil sebagai ibu banyak mengajar beliau asas-asas pendidikan dan nasihat-nasihat yang masih diamalkan hingga kini. Sebagai contohnya, sebagai seorang insan beliau tidak boleh memandang rendah terhadap kaum-kaum yang lain walaupun berbeza agama dan cara hidup. Beliau juga haruslah hidup berdasarkan prinsip diri sendiri dan perlu menjalani hidup yang hanya sekali ini dengan penuh kegembiraan tapi perlu ada batasnya. Semasa di sekolah rendah, beliau belajar di Sekolah Rendah Asunta Convent, Kuantan. Beliau menghabiskan pelajarannya di situ hingga darjah enam. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran beliau di Sekolah Menengah Aloakar, Kuantan, Pahang. Beliau berjaya menghabiskan pelajaran beliau hingga Tingkatan Lima. Namun  begitu, beliau tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana ingin mencari pekerjaan supaya boleh menampung kehidupan beliau setelah keluar dari Rumah Anak Yatim tersebut. Walaupun tidak menyambung pelajaran sebaik sahaja habis sekolah menengah, dengan semangat yang kental untuk menuntut ilmu beliau mengambil kelas kemahiran di Kolej Komuniti MARA di Kuala Medang, Pahang. Berbekalkan duit yang simpan sewaktu bekerja sebaik sahaja tamat SPM, beliau menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk meningkatkan lagi kemahiran.

PENGALAMAN KERJA

            Nor Baizura Kamala Binti Abdullah bukanlah insan yang berpendapatan tinggi. Namun dengan pekerjaan yang beliau lakukanlah, beliau mampu menyara hidupnya. Bekerja sebagai operator kilang di Kuantan, dengan gaji yang diperolehinya, beliau menggunakannya dengan penuh jimat cermat dan turut memberi sedikit daripada gajinya kepada ibu angkatnya yang amat beliau sayangi. Sememangnya Puan Yam Kechik Binti Banun amat bertuah memiliki anak angkat sepertinya yang tidak lupa akan dirinya walaupun hanya ibu angkat sahaja.

PENGALAMAN HIDUP DI RUMAH ANAK YATIM

            Sememangnya seseorang insan itu amat bertuah jika dapat hidup bersama keluarga yang tercinta. Namun bagi Nor Baizura Kamala, beliau tidaklah merasakan dirinya tidak bertuah tetapi merasai kehidupan berkeluarga itu daripada perspektif yang berbeza dengan mereka yang hidup dengan keluarga masing-masing. Ketika beliau tinggal di Rumah Anak Yatim Budriah, beliau masih kecil dan tidak memahami tentang keadaannya. Setelah dibawa ke Rumah Anak Yatim Aloakar di Kuantan, beliau mula mempelajari hakikat bahawa beliau tidak mempunyai ibu bapa. Namun, pengetua di situ yang juga ibu kepada semua kanak-kanak yang tinggal di situ, berjaya memainkan peranan sebagai seorang ibu yang member sepenuh perhatian dan kasih sayang. Oleh kerana ketika masih kecil beliau masih lagi seorang kanak-kanak yang menganut agama Hindu, setiap hujung minggu beliau terpaksa pergi ke kuil untuk upacara sembahyang mengikut agama Hindu. Tetapi, mungkin kerana beliau telah terbiasa mendengar bacaan surah yang biasa dibacakan oleh pengetua disitu, beliau tidak begitu tertarik dengan agama Hindu. Malah, menurutnya, beliau hanya pernah mengunjungi kuil sebanyak dua kali sahaja. Walaupun Pengetua di situ berkeras beliau terpaksa pergi ke kuil tersebut, tetapi setelah melihat wajahnya yang simpati itu, Pengetua tersebut tidak lagi menghantar beliau ke kuil itu.

PROSEDUR-PROSEDUR MEMELUK AGAMA ISLAM

Di Malaysia memeluk agama Islam bukanlah sesuatu yang boleh di ambil ringan. Ini kerana Malaysia adalah di antara Negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin memeluk agama Islam daripada agama lain perlu melalui proses-proses yang betul dan yang deperakui oleh Jabatan Agama Islam. Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi  bagi pemelukan sah agama Islam oleh sesorang. Syarat-syaratnya ialah orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam Bahasa Arab secara jelas dan terang, pada masa seseorang itu mengucapkan dua kalimah Syahadah itu. Syarat yang kedua ialah orang itu mestilah sedar bahawa kalimah yang diucapkan olehnya itu membawa maksud “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah pesuruh Allah”. Syarat yang terakhir pula adalah pengucapan yang dilakukan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri. Bagi mereka yang mempunyai masalah tidak boleh berkata-kata, ketika hendak melakukan pengucapan dua kalimah syahadah itu, seseorang itu hendaklah menunjukkan isyarat bahawa beliau faham akan erti maksudnya dua kalimah syahadah itu. Setelah selesainya semua itu, maka sahlah beliau sebagai seorang muallaf yang baru memeluk agama Islam. Selain itu, seseorang muallaf yang ingin mendapatkan pengiktirafan sebagai orang Islam yang baru perlu memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam di negeri-negeri yang berkenaan. Untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut, seseorang itu hendaklah memeluk agama Islam dan pemelukan itu telah didaftarkan dalam Daftar Muallaf di negeri-negeri yang berkenaan. Maka dengan itu secara tidak langsungnya seseorang itu wajib diperlakukan sebagai orang Islam yang lain.

PENGALAMAN MENGENALI AGAMA ISLAM

            Walaupun boleh dikatakan telah lama bergelar muallaf namun bagi Nor Baizura Kamala, tempoh dirinya bergelar muallaf itu boleh dikatakan terlalu singkat dan masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya demi mendekatkan lagi dirinya dengan agama Islam. Bercerita tentang pengalamannya memeluk agama Islam 6 tahun yang lepas, beliau tidak langsung menganggap diri beliau dan agama Islam itu terlalu jauh. Bahkan dari hari ke hari beliau merasakan bahawa hatinya semakin dekat dengan Tuhan Yang Esa. Beliau meluahkan bahawa sebenarnya semenjak kecil lagi beliau telah tertarik dengan agama Islam. Setiap hari di Rumah Anak Yatim Alloakar, banyak kali beliau mendengar laungan azan yang dilaungkan oleh ustaz di situ dan bacaan surah-surah yang dibaca oleh Pengetua di situ. Saat itu, dirinya merasakan bahawa agama Islam ini adalah sangat unik. Melihat telatah kanak-kanak sebayanya menunaikan fardu ain iaitu solat lima waktu dan membaca Al-Quran, menarik hatinya ingin memahami Islam. Sekali-sekala beliau bertanya kepada Pengetua di situ tentang Islam. Perasaan ingin mengenali Islam itu lebih kuat apabila hati beliau sendiri memberitahunya bahawa agama Hindu amat berbeza dengan agama Islam. Malah, menurutnya agama Islam ini adalah agama yang lurus dan orang Islam tidak menyembah patung-patung yang secara logiknya dibuat oleh manusia biasa.

PENGALAMAN BERGELAR MUALLAF

            Tepat tarikh 23 Januari 2006, Nor Baizura Kamala secara rasminya bergelar muallaf dengan mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab dengan terang dan jelas di hadapan wakil dari Jabatan Agama Islam. Menceritakan kembali perasaanya ketika beliau mengucapkan dua kalimah syahadah itu, terpancar wajah kegembiraan di wajahnya hingga membuatkan orang yang berada di sisi beliau turut tersenyum. Semememangnya, memeluk agama Islam adalah sesuatu yang amat beliau syukuri kerana merasakan agama Islam adalah agama yang paling baik untuk beliau. Selain itu, beliau turut bersyukur kerana Allah s.w.t telah menemukan beliau dengan kawan serumah yang juga merupakan adik angkatnya. Ini kerana disebabkan adik angkat kesayangannya itulah yang membuatkan beliau nekad untuk memeluk agama Islam. Di samping itu juga, beliau turut berasa bertuah kerana mendapat sebuah keluarga angkat yang banyak member tunjuk ajar demi memahami dan mendalami dengan lebih lagi tentang agama Islam. Sememangnya, Puan Yam Kechik Binti Banun, ibu angkatnya dan Normah, adik angkatnya adalah mereka yang paling banyak memberi Nor Baizura Kamala pengetahuan yang lebih mendalam tentang agama Islam. Sebagai contohnya, semasa orang Islam menyambut Ramadhan yang lepas, Nor Baizura Kamala yang baru bergelar muallaf turut bersama-sama menyambut bulan yang mulia itu dengan hati yang terbuka. Walaupun pada mulanya agak kekok dengan keadaan tidak boleh makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari, Nor Baizura Kamala tetap berusaha menahan kelaparannya. Akhirnya beliau berjaya menghabiskan bulan Ramadhannya itu dengan penuh keberkatan. Pada masa yang sama beliau juga turut serta mengikuti solat Terawih di surau yang berdekatan dengan rumah beliau. Kadang-kala beliau turut mengikuti kelas-kelas fardu ain yang disediakan pada bulan-bulan ramadhan. Bagi beliau, walaupun penat apabila pulang dari kerja, namun demi untuk mendekatkan dirinya dengan agama Islam dan Allah s.w.t, beliau tetap bersemangat untuk menghadiri kelas fardu ain tersebut. Dalam kelas tersebut, diajar beliau oleh ustazah di surau tersebut tentang bacaan-bacaan surah dan juga hadis-hadis yang diturunkan kepada manusia sejagat. Sesungguhnya, kelas tersebut turut membantu beliau dalam cara-cara untuk membaca dan memahami ayat-ayat dalam Al-Quran dan hadis-hadis dalam bahasa Arab.

PENGALAMAN PAHIT

            Setiap insan tidak kira lelaki atau perempuan pasti akan menghadapi cabaran dan dugaan dari Allah s.w.t. Itu jugalah yang dilalui oleh Nor Baizura Kamala. Antara pengalaman pahit yang dilalui olehnya adalah beliau pernah hampir-hampir keluar dari agama Islam kerana faktor persekitaran dan tiada bimbingan setelah masuk Islam. Dari segi faktor persekitaran, beliau pernah diajak berkahwin dengan teman lelaki nya yang juga beragama Hindu. Tetapi teman lelakinya itu menyuruh beliau untuk menukar agamanya kembali kepada agama Hindu. Pada mulanya, hati beliau pernah terdetik untuk mengikut kata teman lelakinya itu. Tetapi, setelah panjang berfikir dan dinasihati oleh ibu dan adik angkatnya, beliau tekad tidak mahu menukar agamanya. Bagi beliau, kita harus berpegang kepada kata-kata orang lama iaitu kalau ada jodoh tidak ke mana. Malah, jodoh seseorang itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, kita harus percaya dengan ketentuan Allah s.w.t. Selain itu, setelah beliau memeluk agama Islam, para-para muallaf seperti beliau tidak diberikan kelas-kelas bimbingan untuk membantu mereka memahami agama Islam. Oleh kerana itu, terdapat segelintir kawan-kawannya yang telah kembali kepada agama mereka walaupun telah memeluk agama Islam. Alasan yang mereka berikan sangat mudah iaitu tiada bimbingan setelah memeluk Islam. Justeru tiada sebab untuk orang Islam lain memandang mereka sebelah mata. Ini kerana bukan salah mereka juga hendak memeluk agama asal mereka. Sedangkan kanak-kanak yang telah dididik dengna agama Islam sejak kecil sanggup menukar agama mereka setelah dewasa boleh melakukan demikian. Inikan pula muallaf yang baru sahaja memeluk agama Islam tanpa sebarang bimbingan yang sepatutnya. Sesungguhnya, bukan para muallaf sahaja yang perlu mencari orang yang boleh membantu mereka mendalami Islam, tetapi juga masyarakat Islam yang lain harus saling bantu-membantu bagi memudahkan mereka untuk menerapkan nilai-nilai murni Islam dalam kehidupan seharian para muallaf ini.

SUMBANGAN

            Sumbangan yang diberikan oleh Nor Baizura Kamala tidaklah sebesar mana. Namun, beliau selalu juga menderma terutama kepada anak-anak yatim kerana beliau tahu dan pernah melalui pengalaman seperti mereka. Oleh itu, beliau tidak pernak kekok untuk selalu menjenguk Rumah Anak Yatim Allokar yang banyak member beliau pengalaman yang tidak akan beliau lupakan. Selain, itu, bagi beliau, apabila beliau memeluk agama Islam ini beliau sebenarnya telah melakukan dakwah. Beliau berusaha untuk menarik kembali rakan-rakan beliau untuk memeluk agama Islam. Tambahan pula, beliau selalu menceritakan sedkit sebanyak tentang agama Islam terutama kebaikan agama ini kepada rakan-rakannya. Selalu juga diceritakan pengalaman beliau memeluk agama Islam kepada mereka yang ingin mengetahui perasaannya apabila memeluk agama yang lurus dan satu ini.

PESANAN

            Apabila ditanya apakah yang ingin beliau sampaikan kepada pelajar-pelajar sekarang, hanya satu yang selalu ditekan oleh beliau. Solat jangan tinggal. Bagi beliau solat itu lebih penting dari segala-galanya. Biar sebanyak mana pun kerja yang kita ada, solat jangan sesekali ditinggalkan kerana itu adalah ibarat tali yang menyambungkan kita dengan Allah s.w.t. Beliau juga turut memberitahu rahsia yang selalu diamalkan olehnya untuk mendapatkan ketenangan. Sesudah sahaja kita membaca doa solat, bacalah surah Al-Baqarah untuk mendapatkan ketenangan dan meminta supaya Allah s.w.t mempermudahkan segala urusan yang bakal kita lakukan. Itulah amalan yang selalu beliau lakukan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah s.w.t.

PENUTUP

            Sesungguhnya, sesuatu yang baik itu datang daripada Allah s.w.t. Memeluk agama Islam adalah satu perkara yang baik yang diturunkan kepada semua manusia terutama bagi mereka yang beragama Islam. Nikmat memeluk agama Islam itu diakui sendiri oleh mereka yang bergelar muallaf atau saudara baru. Sememangnya, tiada lagi apa-apa bantahan atau perdebatan bahawa agama Islam membawa kebahagian kepada mereka yang mendalami dan memahami maksud sebenar Islam itu. Tambahan pula, ketenangan yang dapat kita perolehi daripada menunaikan segala yang disuruh oleh Allah s.w.t dan meninggalkan apa yang dilarang amat bermakna dan tidak mungkin dapat dirasai oleh mereka yang beragama lain. Itulah juga yang dirasai oleh golongan muallaf. Walaupun ada yang di antara golongan muallaf ini mungkin telah berusia, namun kita sewajarnya harus memberi mereka lebih banyak tunjur ajar supaya mereka dapat mendalami Islam dengan sebaik mungkin. Golongan muallaf ini memerlukan lebih banyak bimbingan daripada mereka yang mampu membantu dan sesungguhnya Allah s.w.t akan merahmati bagi mereka yang cuba sedaya-upaya untuk membantu gologan-golongan muallaf ini. Diharapkan dengan kerjasama yang diberi oleh semua pihak mampu menarik lagi mereka yang bukan beragama Islam untuk lebih mengenali Islam dan seterusnya memeluk agama Islam ini.

RUJUKAN

Mohd Farid B Mohd Zainol. (2003). Pewarisan Harta Baru Bagi Saudara Baru. Lembaga Zakat Selangor

Nor Baizura Kamala Bt Abdullah

Persoalan dari muallaf. (n.d). retrieved on 15 Februari 2011 from mashoor.forumotion.com/t50-persoalan-dari-muallaf 


NOR BAIZURA KAMALA BT ABDULLAH

BERSAMA IBU ANGKAT, PUAN YAM KECHIK BT BANUN